Ahad, 10 Disember 2017

Sikap ‘besar kepala’ boleh dirawat

PFAM azam beri kesedaran buat para pemain Liga M musim depan
11 Disember 2017 3:00 AM
 REZAL bersama barisan Exco PFAM sedia turun padang untuk memberi
REZAL bersama barisan Exco PFAM sedia turun padang untuk memberi kaunseling kepada barisan pemain yang beraksi dalam Liga M, sekali gus membasmi sikap besar kepala pemain di negara ini.

PERSATUAN Pemain-Pemain Bola Sepak Profesio­nal Malaysia (PFAM) percaya sikap besar kepala yang ada dalam segelintir pemain skuad Harimau Malaya masih boleh ‘dirawat’ memandangkan bola sepak negara kini ke arah pembaharuan.

Perkara tersebut diluahkan oleh presidennya, Rezal Zambery Yahya yang memberitahu, PFAM ada perancangan dan bersedia untuk turun padang bagi membantu memberi kaunseling kepada barisan pemain profesional negara yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) mulai Januari depan.


Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin mendedahkan, ada segelintir pemain senior negara yang memiliki sikap buruk hingga boleh dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’ skuad kebangsaan.

“Sekarang bola sepak negara telah menuju ke arah pembaharuan. Sekiranya Tunku Presiden bertitah bahawa ada beberapa pemain negara memiliki sikap tersebut (besar kepala), maka ia adalah perkara yang benar.

“Bagi pihak PFAM, apa yang kami boleh bantu adalah memberi kesedaran kepada pemain-pemain terbabit supaya memiliki sikap yang lebih positif agar dapat menaikkan mutu bola sepak negara ke arah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Rezal, PFAM berharap persatuan bola sepak ne­geri (FA) serta kelab-kelab bersaing dalam saingan Liga M dapat memberi kerjasama penuh bagi membasmi sikap pemain yang tidak bertanggungjawab.

“Kami merancang untuk me­lakukan jelajah di seluruh negara dan bertemu dengan barisan pemain profesional mulai Januari depan. Mungkin pada waktu tersebut, kita akan ada kaunseling untuk memastikan mereka dapat mematuhi setiap arahan sama ada ketika mewakili peringkat kelab atau skuad kebangsaan.

“Justeru, kami memohon agar setiap pasukan dapat memberi kerjasama penuh kerana ini adalah untuk kebaikan semua pihak,” kata Rezal yang sebelum ini pernah bersama Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia pada edisi 2009.

Dalam perkembangan sama, bekas pemain berusia 39 tahun itu telah dilantik menjadi Presiden PFAM yang baharu bagi menggantikan Hairuddin Omar selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan, sekali gus menentukan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2017-2019.

Tambah Rezal, selain khidmat kaunseling, terdapat banyak pe­rancangan yang sedang dirangka dalam misi mengubah mentaliti pemain negara termasuk membantu mereka agar lebih arif dalam meneliti terma kontrak dan gaji.

“Selepas mesyuarat tersebut, banyak perkara yang telah dibangkitkan dan kami sudah merencanakan beberapa kempen selain memastikan mereka arif dengan syarat kontrak.

“Ada juga kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerajaan dan swasta mengenai peluang pemain melanjutkan pelajaran secara sambilan,” katanya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 11.12.2017