
Kuala Lumpur: Pemain profesional yang gagal menjaga tingkah laku termasuk di laman sosial dinasihatkan agar menggunakan saluran betul sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.
Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya (gambar), berkata isu memperlekehkan pengadil tempatan atau pasukan lawan di media sosial sejak akhir-akhir ini cukup membimbangkan kerana dikhuatiri mampu membina persepsi buruk dalam kalangan penyokong tempatan.
“Langkah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) menguatkuasakan peraturan ini secara tidak langsung dapat mendidik pemain agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan terutama di media sosial.
“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu setiap gerak geri dan tutur kata kita diperhatikan ramai. Ada juga yang menjadikan pemain sebagai idola mereka.
“Saya harap pemain lebih bijak mengawal emosi kerana boleh memburukkan sesuatu isu hingga menjatuhkan maruah orang lain,” katanya, semalam.
Kelmarin, FMLLP mengeluarkan arahan itu dipercayai merujuk kepada tindakan segelintir pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang mengambil pendekatan meluahkan rasa tidak puas hati menerusi laman sosial kebelakangan ini.
Malah, menurut penganjur saingan liga tempatan itu juga, pemain dinasihat mengelakkan diri daripada terpalit dengan sebarang provokasi dan kontroversi dengan mereka perlu menghormati semua pihak termasuk pemain lawan, pengadil, pegawai pertandingan dan penyokong.
Berdasarkan isu sebelum ini, penyerang PKNS FC Safee Sali pernah menggunakan laman sosial untuk meluahkan perasaannya selepas terbabit dengan insiden panas bersama tonggak import Pahang, Kiko Insa dalam saingan Liga Super.
Safee, 33, dalam laman sosial Instragram miliknya memuat naik video insiden berkenan dan mengecam tindakan Insa serta melahirkan rasa tidak puas hati kepada pengadil kerana tidak mengenakan hukuman kepada pemain import itu.
“Pemain tidak perlu meneruskan kontroversi dengan menyampaikannya dalam media sosial kerana mereka mempunyai saluran yang betul untuk melaporkan rasa tidak puas hati,” kata Rezal.