PFAM azam beri kesedaran buat
para pemain Liga M musim depan
11 Disember 2017 3:00 AM
REZAL bersama barisan Exco PFAM
sedia turun padang untuk memberi kaunseling kepada barisan pemain yang beraksi
dalam Liga M, sekali gus membasmi sikap besar kepala pemain di negara ini.
PERSATUAN Pemain-Pemain Bola
Sepak Profesional Malaysia (PFAM) percaya sikap besar kepala yang ada dalam
segelintir pemain skuad Harimau Malaya masih boleh ‘dirawat’ memandangkan bola
sepak negara kini ke arah pembaharuan.
Perkara tersebut diluahkan oleh
presidennya, Rezal Zambery Yahya yang memberitahu, PFAM ada perancangan dan
bersedia untuk turun padang bagi membantu memberi kaunseling kepada barisan
pemain profesional negara yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) mulai
Januari depan.
Sebagai rekod, Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin
mendedahkan, ada segelintir pemain senior negara yang memiliki sikap buruk
hingga boleh dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’ skuad kebangsaan.
“Sekarang bola sepak negara
telah menuju ke arah pembaharuan. Sekiranya Tunku Presiden bertitah bahawa ada
beberapa pemain negara memiliki sikap tersebut (besar kepala), maka ia adalah
perkara yang benar.
“Bagi pihak PFAM, apa yang kami
boleh bantu adalah memberi kesedaran kepada pemain-pemain terbabit supaya
memiliki sikap yang lebih positif agar dapat menaikkan mutu bola sepak negara
ke arah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Rezal, PFAM berharap
persatuan bola sepak negeri (FA) serta kelab-kelab bersaing dalam saingan Liga
M dapat memberi kerjasama penuh bagi membasmi sikap pemain yang tidak
bertanggungjawab.
“Kami merancang untuk
melakukan jelajah di seluruh negara dan bertemu dengan barisan pemain
profesional mulai Januari depan. Mungkin pada waktu tersebut, kita akan ada
kaunseling untuk memastikan mereka dapat mematuhi setiap arahan sama ada ketika
mewakili peringkat kelab atau skuad kebangsaan.
“Justeru, kami memohon agar
setiap pasukan dapat memberi kerjasama penuh kerana ini adalah untuk kebaikan
semua pihak,” kata Rezal yang sebelum ini pernah bersama Negeri Sembilan
menjulang trofi Piala Malaysia pada edisi 2009.
Dalam perkembangan sama, bekas
pemain berusia 39 tahun itu telah dilantik menjadi Presiden PFAM yang baharu
bagi menggantikan Hairuddin Omar selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan, sekali
gus menentukan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2017-2019.
Tambah Rezal, selain khidmat
kaunseling, terdapat banyak perancangan yang sedang dirangka dalam misi
mengubah mentaliti pemain negara termasuk membantu mereka agar lebih arif dalam
meneliti terma kontrak dan gaji.
“Selepas mesyuarat tersebut,
banyak perkara yang telah dibangkitkan dan kami sudah merencanakan beberapa
kempen selain memastikan mereka arif dengan syarat kontrak.
“Ada juga kerjasama dengan
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerajaan dan swasta mengenai peluang pemain
melanjutkan pelajaran secara sambilan,” katanya.
SUMBER-KOSMO ONLINE 11.12.2017