Ahad, 10 Disember 2017

Sikap ‘besar kepala’ boleh dirawat

PFAM azam beri kesedaran buat para pemain Liga M musim depan
11 Disember 2017 3:00 AM
 REZAL bersama barisan Exco PFAM sedia turun padang untuk memberi
REZAL bersama barisan Exco PFAM sedia turun padang untuk memberi kaunseling kepada barisan pemain yang beraksi dalam Liga M, sekali gus membasmi sikap besar kepala pemain di negara ini.

PERSATUAN Pemain-Pemain Bola Sepak Profesio­nal Malaysia (PFAM) percaya sikap besar kepala yang ada dalam segelintir pemain skuad Harimau Malaya masih boleh ‘dirawat’ memandangkan bola sepak negara kini ke arah pembaharuan.

Perkara tersebut diluahkan oleh presidennya, Rezal Zambery Yahya yang memberitahu, PFAM ada perancangan dan bersedia untuk turun padang bagi membantu memberi kaunseling kepada barisan pemain profesional negara yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) mulai Januari depan.


Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin mendedahkan, ada segelintir pemain senior negara yang memiliki sikap buruk hingga boleh dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’ skuad kebangsaan.

“Sekarang bola sepak negara telah menuju ke arah pembaharuan. Sekiranya Tunku Presiden bertitah bahawa ada beberapa pemain negara memiliki sikap tersebut (besar kepala), maka ia adalah perkara yang benar.

“Bagi pihak PFAM, apa yang kami boleh bantu adalah memberi kesedaran kepada pemain-pemain terbabit supaya memiliki sikap yang lebih positif agar dapat menaikkan mutu bola sepak negara ke arah yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Rezal, PFAM berharap persatuan bola sepak ne­geri (FA) serta kelab-kelab bersaing dalam saingan Liga M dapat memberi kerjasama penuh bagi membasmi sikap pemain yang tidak bertanggungjawab.

“Kami merancang untuk me­lakukan jelajah di seluruh negara dan bertemu dengan barisan pemain profesional mulai Januari depan. Mungkin pada waktu tersebut, kita akan ada kaunseling untuk memastikan mereka dapat mematuhi setiap arahan sama ada ketika mewakili peringkat kelab atau skuad kebangsaan.

“Justeru, kami memohon agar setiap pasukan dapat memberi kerjasama penuh kerana ini adalah untuk kebaikan semua pihak,” kata Rezal yang sebelum ini pernah bersama Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Malaysia pada edisi 2009.

Dalam perkembangan sama, bekas pemain berusia 39 tahun itu telah dilantik menjadi Presiden PFAM yang baharu bagi menggantikan Hairuddin Omar selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan, sekali gus menentukan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2017-2019.

Tambah Rezal, selain khidmat kaunseling, terdapat banyak pe­rancangan yang sedang dirangka dalam misi mengubah mentaliti pemain negara termasuk membantu mereka agar lebih arif dalam meneliti terma kontrak dan gaji.

“Selepas mesyuarat tersebut, banyak perkara yang telah dibangkitkan dan kami sudah merencanakan beberapa kempen selain memastikan mereka arif dengan syarat kontrak.

“Ada juga kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerajaan dan swasta mengenai peluang pemain melanjutkan pelajaran secara sambilan,” katanya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 11.12.2017

Rabu, 17 Mei 2017

PFAM mahu jaminan keselamatan pemain

17 MEI 2017
                                                           
Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mahu jaminan keselamatan diberikan pihak Korea Utara apabila skuad Harimau Malaya berkunjung ke ibu kota Pyongyang pada 8 Jun depan bagi aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 nanti.

Meskipun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meluluskan venue berkenaan, Timbalan Presidan PFAM Rezal Zambery Yahya (gambar) tetap mahu isu keselamatan dititikberatkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar delegasi awal bagi meninjau suasana di negara itu.

Katanya, tindakan itu penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan dan situasi apabila pemain dan pegawai pasukan tiba ke Pyongyang awal bulan depan.

“Pertama sekali kami (PFAM) menghormati keputusan dibuat AFC untuk mengadakan pertemuan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Korea Utara di sana.

“Mungkin keputusan terbaru itu diraih selepas mendapati hubungan kedua-dua negara sudah kembali pulih dan kerana itu Pyongyang dikekalkan sebagai lokasi perlawanan biarpun ada cadangan memindahkannya ke venue berkecuali.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh ambil mudah sebaliknya pihak berkepentingan harus memastikan jaminan keselamatan dapat dipastikan sebelum pasukan berangkat ke sana.

“Kami tidak mahu pemain diganggu dengan isu keselamatan apabila mereka tiba di negara itu nanti. Pemain perlu dijaga dan dikawal rapi hingga mereka balik ke Malaysia semula.

“FAM boleh memantau terlebih dulu tahap keselamatan pasukan dan pergi awal ke Korea Utara. Jika rasa tidak selamat, kami boleh cadangkan langkah pencegahan demi kebaikan pasukan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Kelmarin, AFC memutuskan aksi pertama membabitkan Korea Utara dan pasukan kebangsaan akan dilangsungkan di Pyongyang selepas kerajaan Malaysia menarik semula sekatan perjalanan rakyat negara ini ke sana atas situasi geo-politik yang mengancam keselamatan.

Hubungan kedua-dua negara tegang susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Februari lalu.

Insiden itu menyebabkan jadual asal yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mac lalu ditangguhkan kepada 8 Jun depan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 8:28 AM

Sabtu, 22 April 2017

Guna saluran betul luah kenyataan

 
Kuala Lumpur: Pemain profesional yang gagal menjaga tingkah laku termasuk di laman sosial dinasihatkan agar menggunakan saluran betul sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu isu.
Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya (gambar), berkata isu memperlekehkan pengadil tempatan atau pasukan lawan di media sosial sejak akhir-akhir ini cukup membimbangkan kerana dikhuatiri mampu membina persepsi buruk dalam kalangan penyokong tempatan.
“Langkah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) menguatkuasakan peraturan ini secara tidak langsung dapat mendidik pemain agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan terutama di media sosial.
“Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu setiap gerak geri dan tutur kata kita diperhatikan ramai. Ada juga yang menjadikan pemain sebagai idola mereka.
“Saya harap pemain lebih bijak mengawal emosi kerana boleh memburukkan sesuatu isu hingga menjatuhkan maruah orang lain,” katanya, semalam.
Kelmarin, FMLLP mengeluarkan arahan itu dipercayai merujuk kepada tindakan segelintir pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang mengambil pendekatan meluahkan rasa tidak puas hati menerusi laman sosial kebelakangan ini.
Malah, menurut penganjur saingan liga tempatan itu juga, pemain dinasihat mengelakkan diri daripada terpalit dengan sebarang provokasi dan kontroversi dengan mereka perlu menghormati semua pihak termasuk pemain lawan, pengadil, pegawai pertandingan dan penyokong.
Berdasarkan isu sebelum ini, penyerang PKNS FC Safee Sali pernah menggunakan laman sosial untuk meluahkan perasaannya selepas terbabit dengan insiden panas bersama tonggak import Pahang, Kiko Insa dalam saingan Liga Super.
Safee, 33, dalam laman sosial Instragram miliknya memuat naik video insiden berkenan dan mengecam tindakan Insa serta melahirkan rasa tidak puas hati kepada pengadil kerana tidak mengenakan hukuman kepada pemain import itu.
“Pemain tidak perlu meneruskan kontroversi dengan menyampaikannya dalam media sosial kerana mereka mempunyai saluran yang betul untuk melaporkan rasa tidak puas hati,” kata Rezal.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 4:52 AM

Ahad, 19 Mac 2017

PIALA MALAYSIA 02/10/2001 KELANTAN....4 NS Chempaka....1

OLEH -AHMAD BIN YAAKOB
Kelantan                       4-0 NS Chempaka
m-45,m-42Hardi Ahmad m-24 V. Thinagaran
m-4 Rezal Zambri

m-54 Annuar Abu Bakar

Jumaat, 10 Mac 2017

NS cerah ke suku akhir


 

PENYERANG Johor, Sutesh Nair (kiri) cuba melepasi kekangan pertahanan Perak, K. Nanthakumar (tengah) dan Chan Wing Hong pada perlawanan kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam. Perak menang 3-2. - Gambar RAJA JAAFAR ALI

NEGERI SEMBILAN cerah ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada persaingan kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Kedah menjadi mangsa terbaru pasukan tuan rumah yang meraikan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 4-0 semalam.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Wong Sai Kong pada minit ke-36, diikuti Azman Adnan (39), Azmi Mohamad (81) dan Leong Hong Seng (87).

Babak pertama menyaksikan tuan rumah memperoleh gol pertama apabila bola rembatan Wong Sai Kong dari jarak 35 meter pada minit ke-36 menerjah gawang lawan dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Kedah, Azuan Othman.

Negeri Sembilan yang terus melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya menambah gol kedua pada minit ke-39 menerusi penyerang berbisa, Azman Adnan yang menyempurnakan hantaran lintang oleh K. Rajan.

Kedah turut mendapat peluang minit ke-44, tetapi sepakan yang dilakukan oleh penyerangnya, Adrien Jurat Chamrong jauh tersasar dari pintu gol tuan rumah.

Negeri Sembilan meneruskan asakan di babak kedua dan memperoleh gol ketiga menerusi Azmi Mohamad pada minit ke-81. Azmi yang tidak dikawal kemas bijak meloloskan diri ke kawasan lawan sebelum melepas kaki kiri.

Enam minit kemudian, Leong Hong Seng menambah keperitan pasukan pelawat apabila menyempurnakan sepakan percuma selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan Kedah.

Pengadil, Danny Ong Kim Heng tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma itu yang disempurnakan oleh Leong dari jarak 25 meter.

Sementara itu, di Stadium Larkin, Perak berjaya menewaskan tuan rumah, Johor 3-2 dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan pelawat bermain dengan penuh semangat.

Pengadil Manjit Singh memberi kad merah kepada Roslan Hamid pada minit ke-65 setelah mengasari pemain Perak, Ahmad Shahrul Azahar dengan cara yang kasar.

Perak mengejutkan pasukan tuan rumah pada awal pada minit ke-5 melalui ketua pasukan Ahmad Shahrul Azhar yang membuat sepakan leret ke arah pintu gol lawan lalu menewaskan Othman Katmon.

Jengking tersentak dengan gol itu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi Rizal Sukiman berjaya membuat tendangan mengelirukan di luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.

Ahmad Shahrul Azhar sekali lagi membuatkan penyokong Perak ceria apabila menyumbat gol pada minit ke-47 setelah menerima hantaran cantik daripada V. Saravanan.

Rezal Zamberi Yahaya menyamakan kedudukan buat Johor pada minit ke-50, sebelum V. Saravanan menjaringkan gol kemenangan Perak di minit ke-54.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ayhrpr8e © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor gugur Farouk, Rezal

ARKIB : 26/08/2000
JOHOR menggugurkan dua pemainnya, Farouk Yahya dan Rezal Zambery Yahya daripada senarai kesebelasan utama pasukan itu menentang Negeri Sembilan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia, malam ini.

Kedua-duanya beraksi sewaktu Johor dan Kedah seri 1-1 dalam perlawanan kumpulan D, Piala Malaysia di Alor Setar, Selasa lepas.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan kecewa terhadap prestasi hambar beberapa pemain dalam barisan utama semasa bertemu Kedah.

Beliau menyalahkan mereka sehingga Johor hanya seri dalam perlawanan itu sambil berkata, pasukannya layak memenangi pertemuan itu jika para pemain lebih komited.

''Farouk digugurkan kerana prestasi hambarnya di Alor Setar. Rezal pula berkata dia cedera. Rezal tidak menjalani latihan semalam dan saya tidak boleh menurunkannya dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan,'' kata Wan Jamak.

Beliau berkata, Negeri Sembilan sudah pasti pasukan yang sukar ditundukkan selepas menang 3-1 ke atas Perak di tempat lawan, Selasa lalu.

Wan Jamak meramalkan cabaran getir menanti pasukannya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

''Bermain di tempat lawan selalunya bukan mudah. Kita bermain agak baik dengan Kedah dan jika mampu mengekalkan prestasi itu, sudah tentu Johor mampu memberi tentangan baik kepada pasukan itu,'' kata Wan Jamak.

Johor menewaskan Negeri Sembilan dua kali dalam liga. Pada pusingan pertama Johor menang 2-1 di Paroi dan di Stadium Larkin, mereka menang 2-0.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4av5SUWtP © Utusan Melayu (M) Bhd